Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sektor Pelancongan Kesihatan Negara Dianggar Jana US$240 Bilion Menjelang 2025

By 19 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Sektor pelancongan kesihatan negara dianggarkan menjana sebanyak US$240 bilion menjelang 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif.

Beliau berkata industri pelancongan kesihatan sangat besar dan potensinya untuk menjana sumber kewangan buat negara akan meningkat dari tahun ke tahun.

“Malaysia sendiri telah mengenal pasti pelancongan kesihatan sebagai satu sektor yang boleh meningkatkan pendapatan kepada negara terutama dari segi perkhidmatan eksport dengan kita dapat mengimbangkan eksport perkhidmatan dan juga eksport barangan.

“Daripada jumlah pendapatan yang kita jana ini, kita dapat lihat negara-negara lain juga terkejar-kejar untuk membangunkan sektor pelancongan kesihatan masing-masing dan Malaysia tidak mahu ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Membina Semula Industri Pelancongan Kesihatan Malaysia’ malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pesakit dari luar negara sentiasa dipantau dengan hanya membenarkan pesakit kritikal bersama seorang sahaja peneman manakala dua peneman dibenarkan untuk pesakit berusia 12 tahun ke bawah.

Menurutnya, negara menerima sejumlah 705 pelancong kesihatan yang melaksanakan rawatan di Malaysia bermula Julai 2020 hingga Disember 2021 bagi memastikan kesihatan rakyat dan pelancong kesihatan terjamin.

Mohd Daud berkata sektor tersebut tidak boleh ditutup sepenuhnya bagi mengelak pelancong kesihatan dari luar negara hilang kepercayaan terhadap sistem kesihatan di Malaysia selain untuk mengekalkan momentum sektor tersebut dalam merawat pesakit dari negara lain.

“Dengan ini, harapnya kita dapat meningkatkan keyakinan masyarakat global untuk menjalani rawatan di Malaysia sebagai destinasi yang sesuai,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda