Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman (Melaka Tengah)
MELAKA, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Hujan berterusan di Melaka bermula tiga hari lepas mengundang bencana banjir di beberapa kawasan yang sering terjejas banjir. Sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah Melaka Tengah melibatkan 329 keluarga dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1252 mangsa.
Tinjauan Malaysiaaktif di PPS Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 2 pagi ini mendapati kerajaan sangat serius membantu mangsa-mangsa terjejas banjir apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid membuat lawatan mengejut di sana untuk melihat sendiri bagaimana PPS beroperasi dan mendapatkan maklum balas mangsa-mangsa banjir berkaitan bantuan-bantuan banjir yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri.
Ketika ditemuramah, Datuk Mastura berkata, “saya datang hari ini bersama Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang merupakan agensi di bawah kami, sebagai sekretariat untuk hal-hal bencana negara. Jadi saya sekarang ini membuat operasi-operasi mengejut di serata negara untuk melihat sama ada PPS dikendalikan dengan baik atau sebaliknya dan sekiranya ada penambahbaikan yang perlu dibuat dan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan untuk makluman dan tindakan oleh kerajaan Pusat.”
Datuk Mastura yang juga merupakan Pesuruhjaya APM turut diiringi Timbalan Pesuruhjaya APM Bersekutu Melaka, Datuk Latipah Omar dan Pegawai Bersekutu APM Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah melawat semua keluarga yang berada di PPS SK Batu Berendam 2. Beliau menggesa agar Bantuan Wang Ihsan (BWI) disegerakan penyerahannya kepada keluarga mangsa.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan membela nasib mangsa-mangsa terjejas banjir, Pegawai Bersekutu APM selaku Pengerusi Persatuan Kesihatan Reproduktif Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah juga turun ke PPS ini bersama-sama dengan jawatankuasa Persatuan Solidariti Nasional Melaka (PERSONA), bagi menyelami denyut nadi keluarga mangsa.
Datuk Haryaty turut menyuarakan pandangannya berkaitan tindakan Datuk Mastura membuat operasi mengejut hari ini.
“Sebenarnya kehadiran Timbalan Menteri (Tugas-Tugas Khas) hari ini adalah istimewa di mana beliau hadir secara mengejut ke tiga PPS di sini. Secara tidak langsung saya mengambil inisiatif untuk menjalinkan gabungan antara aktivis NGO bersama kerajaan untuk mensejahterakan masyarakat yang terkesan dengan banjir”, kata Haryaty.
“Saya sebenarnya baru dimaklumkan pagi ini oleh APM tentang kedatangan mengejut Datuk Mastura. Beliau akan menyarungkan vest Timbalan Pesuruhjaya APM kepada Datuk Latipah dan vest Kapten APM kepada saya”, ujarnya lagi.
Lawatan mengejut ini mencapai objektifnya untuk meringankan sedikit kesusahan hati mangsa-mangsa banjir melalui penerangan jelas berkaitan bantuan-bantuan kerajaan yang boleh mereka perolehi dan saluran-saluran yang betul untuk memohon bantuan-bantuan tersebut oleh Datuk Mastura sendiri dan juga melalui bahan-bahan terbitan Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Melaka Tengah, Noor Adha Hashim.
-FF