Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pelabur Asing Pembeli Bersih Bon Malaysia Bernilai RM6.1 Bilion pada Disember 2021

By 11 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Kalangan pelabur asing menjadi pembeli bersih sekuriti hutang Malaysia bernilai RM6.1 bilion pada Disember 2021, sebulan selepas jualan bersih pada November yang berjumlah RM3.6 bilion.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Investment), jumlah pegangan hutang asing meningkat kepada RM256.6 bilion berbanding RM250.4 bilion pada November 2021 manakala jumlah hutang belum dijelaskan meningkat kepada 14.8 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tujuh bulan.

Dalam nota tinjauannya hari ini, bank pelaburan itu menyifatkan permintaan tersebut berkemungkinan besar didorong oleh kemunculan semula minat terhadap risiko di peringkat global apabila kebimbangan mengenai Omicron mulai reda berikutan laporan bahawa impaknya yang kurang serius berbanding varian COVID-19 lain.

“Malah, bon domestik ternyata mengekalkan perbezaan hasil yang ketara berbanding kebanyakan bon pasaran negara maju yang menjadikannya lebih menarik walaupun terdapat pelaksanaan dasar monetari ketat oleh bank-bank pusat utama.

“Aliran masuk dana pada Disember itu dipacu oleh peningkatan bersih pegangan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mengatasi kenaikan perlahan pegangan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB),” katanya.

Bagi pasaran ekuiti, pelabur asing menjadi penjual bersih — tindakan pertama dalam tempoh lima bulan dengan menjual saham bernilai RM1.1 bilion berbanding pembelian bersih RM200 juta pada November lepas.

Menurut Kenanga Investment, permintaan terhadap ekuiti berkemungkinan dikekang oleh ketidakpastian mengenai varian Omicron serta kecenderungan pihak Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dalam usahanya mempercepatkan langkah mengurangkan proses pembelian aset.

Secara keseluruhannya, pasaran modal tersebut mencatatkan aliran masuk dana terbesar dalam tempoh empat bulan yang berjumlah RM5 bilion.

Bagi kemajuan masa depan, bank pelaburan itu berpendapat bahawa pasaran hutang kekal berisiko menyaksikan aliran keluar dalam masa terdekat apabila Fed AS memperketatkan lagi dasar monetari.

Hasil purata nota Perbendaharaan AS 10 tahun susut enam mata asas (bps) kepada 1.45 peratus pada Disember 2021 manakala hasil purata MGS 10 tahun kekal pada 3.55 peratus.

Ini sekali gus meningkatkan purata hasil tebaran kepada 211 bps berbanding 205 bps pada November lepas iaitu yang tertinggi dalam tempoh 18 bulan.

Menurut Kenanga Investment, minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada Disember lepas, menunjukkan pihak Fed sedang mempertimbang pelaksanaan kenaikan kadar faedah jauh lebih awal dan mungkin memulakan pengurangan lembaran imbangan dalam masa terdekat yang boleh memberi kesan ke atas aliran masuk dana asing ke Malaysia dalam tempoh terdekat hingga jangka sederhana.

“Namun, kami masih menjangkakan bahawa pasaran bon akan terus merekodkan aliran dana masuk bersih secara keseluruhannya pada 2022, disokong oleh prospek pemulihan domestik yang kukuh serta perbezaan hasil yang tinggi.

“Susulan keadaan tersebut, kami amat opmitis namun berhati-hati terhadap prospek ringgit dan mengunjurkan unit itu mencecah paras 4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir 2022 berbanding unjuran 4.17 pada 2021.

“Kami turut menjangkakan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga September 2022 dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi semasa negara ini. Pada masa sama, kami juga kekal berhati-hati terhadap risiko akibat COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda