Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pendaftaran Pengambilan Murid Tingkatan 1 RKPYS 2022 Dibuka Mulai Selasa

By 24 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Permohonan pengambilan murid Tingkatan 1 Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Selangor (RKPYS) 2022 akan dibuka mulai esok (25 Januari) kepada murid Tahun 6/2021.

Yayasan Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka memperuntukkan sejumlah 389 tempat di 29 sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur untuk kemasukan murid ke Tingkatan 1 RKPYS 2022 yang layak mengikut kriteria ditetapkan.

Antaranya, pemohon mestilah mendapat sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan (TP) 3 dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6, mestilah bersekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) atau sekolah rendah swasta berdaftar di bawah KPM (keutamaan diberi kepada murid luar bandar).

Selain itu, pemohon atau ibu atau bapa mestilah lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun, daripada keluarga mempunyai pendapatan per kapita kurang RM2,000 sebulan, serta ibu dan bapa mestilah warganegara Malaysia serta sihat fizikal, mental dan emosi dengan mendapat pengesahan doktor.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my mulai esok dan pemohon hendaklah mencetak borang permohonan diisi dalam talian dan dihantar berserta dengan dokumen diperlukan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 11 Februari ini.

Semua murid Tahun 6/2021 di Selangor yang berkelayakan dialu-alukan untuk memohon tertakluk kepada syarat dan had kuota ditetapkan.

Pelbagai kemudahan ditawarkan kepada pemohon yang terpilih termasuk kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru dilantik.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda