Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MPC Sedia Kongsi Maklumat dengan Agensi Kerajaan Laksana Transformasi Digital

By 24 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersedia berkongsi maklumat dengan mana-mana agensi kerajaan yang ingin melaksanakan transformasi digital terhadap proses perolehan mereka bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti agensi terbabit.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC sendiri telah merancakkan transformasi digitalnya akibat pandemik COVID-19.

“Sekatan pergerakan dan jumlah kes positif COVID-19 yang meningkat setiap hari pada 2020 dan 2021 menyebabkan MPC perlu menukar medium perolehan dan pembayaran kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya objektif pendigitalan itu antaranya bertujuan menggandakan jangkauan perkhidmatan MPC kepada pelanggan tanpa halangan masa dan geografi serta mengurangkan kos operasi supaya lebih cekap dan berkesan.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata pelaksanaan pengeluaran pesanan kerajaan dan memproses invois secara digital telah bermula sejak Mac 2020 iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama dengan melalui penambahbaikan sebanyak tiga fasa secara berperingkat berdasarkan keperluan dan situasi semasa.

“Fasa pertama yang mana dalam memastikan pegawai boleh terus membuat permohonan tanpa gangguan, kaedah permohonan dihantar melalui sistem emel dalaman MPC dan pegawai hanya perlu imbas dan hantar.

“Fasa kedua pula, setelah MPC melanggan Microsoft Teams, semua permohonan perolehan dikongsi di folder mengikut bahagian,” katanya.

Abdul Latif berkata, bagi fasa terakhir, MPC telah membangunkan Sistem Permohonan Perolehan untuk pegawai memohon pesanan kerajaan secara dalam talian dan memantau pengeluaran pesanan kerajaan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Menurutnya, berikutan perubahan itu, unit perolehan MPC telah mengamalkan pemprosesan tanpa kertas secara 100 peratus.

“Semua pesanan kerajaan daripada MPC dan invois yang diterima daripada pembekal adalah melalui format dokumen mudah alih (PDF),” katanya sambil memaklumkan sistem itu juga berkesan untuk menjejak transaksi dalam masa yang singkat serta kawalan dokumen teratur.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda