Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pendapatan Bursa Malaysia bagi TK22 Diunjur Susut

By 31 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Bursa Malaysia Bhd diunjur mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022 (TK22) berikutan jangkaan penurunan purata nilai dagangan harian (ADV), kata penganalisis.

Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘prestasi pasaran’ terhadap pengendali pasaran itu dengan harga sasaran lebih rendah pada RM5.85 sesaham berbanding RM7.60 sebelum ini, diheret turun oleh unjuran pendapatan sesaham lebih kecil bagi TK22 dengan penyusutan ADV.

“Kami menjangkakan ADV lebih rendah masing-masing kepada RM2.39 bilion bagi 2022 dan RM2.26 bilion pada 2023 berikutan kekurangan pemangkin akibat sentimen pasaran Malaysia yang lebih berhati-hati.

“ADV bagi 2022 diunjurkan perlahan bagi tahun ke tahun kepada RM2.39 bilion daripada unjuran awal kami pada RM3 bilion,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Pada Jumaat lepas, Bursa Malaysia mengumumkan mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah pada RM355.25 juta bagi TK21, susut daripada RM377.75 juta pada tahun sebelumnya.

ADV bagi dagangan pasaran sekuriti itu mencecah RM3.54 bilion iaitu susut 15.9 peratus bagi tahun ke tahun.

Selain itu, keuntungan selepas cukai (PAT) Bursa Malaysia bagi suku keempat 2021 sebanyak RM64.95 juta, sekali gus menjadikan PAT TK21 kepada RM355.25 juta yang disifatkan Kenanga sebagai memenuhi jangkaan ramai namun berkurangan daripada sasaran bank pelaburan itu, kebanyakannya disebabkan oleh kos melebihi jangkaan.

Mengulas unjuran penyusutan ADV pada TK22, Kenanga berkata ini hanya meneruskan aliran TK21 yang rendah bagi suku ke suku berdasarkan kelemahan sentimen membabitkan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) atau Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah, kekurangan pemangkin merentasi sektor tempatan dan penurunan ADV runcit dengan risiko penyusutan.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities pula mengunjurkan penyusutan sebanyak 39.4 peratus dalam keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi TK22 berdasarkan unjuran pengurangan 34.1 peratus dalam ADV ekuiti iaitu RM3.55 bilion pada TK21 kepada RM2.33 bilion dalam TK22 selain cukai tambahan dalam bentuk Cukai Makmur.

“Kami mengunjurkan ekuiti ADV lebih rendah bagi TK22 yang berdasarkan faktor kadar duti setem lebih tinggi, faedah runcit lebih rendah susulan pelaksanaan langkah-langkah kawalan pergerakan pada suku ketiga 2021 dan kemungkinan kenaikan kadar dasar semalaman pada separuh kedua 2022,” kata firma pembrokeran itu.

Berikutan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas Bursa Malaysia atas alasan pasaran dilihat sudah menerima jangkaan atau prospek Bursa Malaysia mencatatkan pendapatan lebih rendah.

“Selain itu, kami mengekalkan unjuran TK22-TK23 dan TP pada RM6.59 yang bersandarkan harga bagi pendapatan tertinggi dalam lima tahun sebanyak 21.1 kali,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research pula mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Bursa Malaysia dengan harga sasaran disemak semula pada RM7.45 sesaham berbanding RM8.20 sebelum ini.

Menurutnya, ini berikutan pihaknya melihat aktiviti dagangan yang lebih lemah pada suku keempat TK21 dan berkemungkinan besar memberi kesan sehingga suku pertama TK22 akibat ketidaktentuan susulan pendirian Fed yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah selain isu geopolitik.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kegiatan dagangan ini akan kembali rancak sebaik keadaan reda. Malah, kami juga melihat terdapatnya minat dari pelabur asing untuk kembali melabur,” katanya.

Menurut MIDF, berdasarkan aliran dana dari Bursa Malaysia, pelabur asing mencatatkan aliran masuk dana sebanyak RM463.5 juta pada Januari 2022.

“Walaupun masih awal, TK22 berpotensi mencatat keadaan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kami juga yakin penurunan harga saham baru-baru ini juga menandakan bahawa saham terbabit telah dinilai lebih rendah pada masa ini,” katanya.

Pada 12.27 tengah hari ini, saham-saham Bursa Malaysia naik lapan sen kepada RM6.26 dengan 628,800 saham saling berpindah tangan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda