Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pengambilan Dos Penggalak Sebagai Kesiapsiagaan

By 19 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasirah Deris/Mohd Afnan Hakimi Abd Aziz (Marang)

MARANG, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Pengambilan suntikan dos penggalak merupakan kesiapsiagaan warga Daerah Marang dalam menghadapi ancaman varian baharu COVID-19 sebagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh pihak berkuasa bagi mengekang wabak ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Marang Dr. Tan Sin Yiew, berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Daerah dan Tanah Marang (PDTM), sering bekerjasama dalam melaksanakan program vaksinasi bagi memastikan warga Marang sentiasa mematuhi garis panduan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBT di daerah sini menjalankan program suntikan dos penggalak untuk orang awam dengan kerjasama beberapa jabatan sebagai salah satu langkah yang wajar dilakukan memandangkan negeri ini masih dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa ke-4.

“Dalam tempoh PPN FASA ke-4 ini, sudah beberapa kali program suntikan vaksin dilaksanakan dan sambutannya amat menggalakkan dengan kehadiran warga Marang sehingga mencecah 500 orang,” katanya yang ditemui di PKD Marang, di sini kelmarin.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Tan Sin Yiew meninjau petugas KKM bagi urusan pendaftaran dos penggalak kepada orang ramai.

Dr. Tan (berdiri) meninjau petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bagi urusan pendaftaran dos penggalak kepada orang ramai.

Tambah beliau, sehingga kini keadaan di pusat pemberian vaksin masih terkawal dengan kerjasama penduduk setempat yang dilihat mematuhi SOP dan bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian COVID-19 dan varian Omicron.

“Bagi Tahun 2022, sudah tiga kali program suntikan vaksin diadakan di tiga tempat berlainan bermula di Dewan Sivik Bukit Payong 1 Januari, diteruskan pada 8 Januari di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Marang serta yang terbaharu di Institut Latihan Perindustrian Marang, Pengkalan Berangan.

“Program ini akan terus diadakan untuk warga Marang yang belum menerima suntikan dos penggalak dan pemantauan dilakukan untuk memastikan setiap warga Marang mendapat perlindungan yang sebaiknya,” katanya.

Dr. Tan turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan kawalan kendiri dengan baik dan menjadikannya sebagai amalan harian bagi mengekang jangkitan pandemik COVID-19.

-ZS-

Tinggalkan komen anda