Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,229 Kes Dilaporkan

By 20 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 3,229 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif yang dijangkiti wabak itu ialah 2,817,163.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 38 (1.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 3,191 (98.8 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 3,229 kes itu, sebanyak 239 adalah kes import dan 2,990 ialah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 162 kes dan 76 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata 2,848 kes pula dilaporkan pulih daripada wabak itu menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh setakat ini ialah 2,744,203 orang.

Dr Noor Hisham berkata 20 kluster baharu turut dikenal pasti dengan 201 kluster masih aktif.

Katanya kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini berada pada paras 0.99 dengan Kuala Lumpur merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08 setakat semalam.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan antaranya menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius serta bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok.

“Pengambilan vaksin dan dos penggalak dapat melindungi orang sekeliling kita daripada kemungkinan jangkitan COVID-19.

“Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda