Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sentiasa memudahkan proses tuntutan pencarum atau waris sekiranya memenuhi kelayakan dan lengkap dokumentasi.
Pengurus Perkeso Rawang, Khairul Mizan Md Said, berkata semua maklumat yang diperolehi melalui orang awam kepada pertubuhan itu akan disemak dan disalurkan kepada Skuad Prihatin Perkeso.
“Skuad yang ditubuhkan lebih tujuh tahun ini memudahkan pemprosesan tuntutan pencarum sekiranya berlaku kejadian atau kemalangan kepada pencarum,” katanya.
Beliau berkata, biasanya kekeliruan berlaku apabila pencarum tidak layak menerima pencen disebabkan kelayakan atau pengesahan kesihatan.
“Perkeso akan segera proses tuntutan apabila menerima sesuatu kes tetapi sekiranya berkaitan kelayakan ia adalah ditentukan oleh lembaga perubatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan cek faedah pengurusan mayat (FPM) kepada waris Allahyarham Hamsan Hashim, 54, yang meninggal dunia di sebuah restoran di Bukit Sentosa 19 Januari.
Kejadian tersebut kemudiannya tular di media sosial yang mengaitkan kematiannya dengan suntikan penggalak.
Sementara itu, waris arwah, Rabunah Abdu Rashid, 49, berkata beliau redha dengan kejadian tersebut dan memaklumkan suaminya mengidap sakit jantung sejak 10 tahun lalu.
“Cerita tular mengatakan suami meninggal disebabkan suntikan vaksin penggalak adalah tidak benar kerana arwah memang mengidap sakit jantung serta darah tinggi.
“Saya redha walaupun tanggungjawab menguruskan keluarga akan lebih berat selepas ini,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Beliau menyeru orang ramai agar mencarum dengan Perkeso termasuk yang bekerja sendiri kerana banyak perlindungan dan faedah sekiranya berlaku kemalangan atau kematian secara mengejut.
-RI