Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKJRM 2022-2030 Dilancar, Tingkat Tahap Keselamatan, Lindungi Pengguna Jalan Raya

By 27 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Facebook Wee Ka Siong

PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 bagi meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi kebajikan pengguna jalan raya, dengan visi ke arah “Malaysia, Sebuah Negara Sifar Kematian Akibat Nahas Jalan Raya”.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata PKJRM 2022-2030 menekankan 10 bidang keutamaan aspek keselamatan antaranya pemantauan dan penilaian yang efektif, penunggangan motosikal yang lebih selamat, pengurusan kelajuan dan perjalanan pekerjaan yang selamat.

“PKJRM 2022-2030 mempunyai pendekatan pelbagai serampang untuk meningkatkan disiplin dan advokasi selain penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PKJRM 2022-2030 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya serta Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina 2022, di sini hari ini.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 418,237 kes nahas jalan raya telah direkodkan pada 2020 dengan 4,634 kematian, manakala sehingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas di jalan raya telah direkodkan dengan 3,302 kes kematian.

“Setiap nahas jalan raya yang berlaku bukan sahaja akan menimbulkan risiko kecederaan atau kematian, namun akan turut membawa kepada kerugian ekonomi yang tinggi sama ada bagi tujuan pembaikan infrastruktur, bayaran pampasan dan kos perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi kerajaan, syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) komited meneruskan Kempen Keselamatan Jalan Raya & Ops Bersepadu serta mengekalkan tema iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.

Beliau berkata kempen keselamatan jalan raya dan operasi bersepadu pada tahun ini menekankan empat program utama iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.

Mengenai kempen keselamatan jalan raya dan operasi bersepadu sempena Tahun Baharu Cina 2022 yang bermula 25 Januari hingga 8 Februari, Wee berkata seramai 2,200 anggota penguat kuasa JPJ digerakkan antaranya menjalankan pemeriksaan terhadap bas, pemantauan dan rondaan di jalan raya.

Wee berkata Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan akan dikuatkuasakan pada 30 Januari, 31 Januari, 3 Februari dan 4 Februari bagi mengelakkan risiko nahas di jalan raya akibat percampuran trafik di atas jalan raya dan lebuh raya, selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda