PUTRAJAYA, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan mengetuai delegasi 20 buah syarikat Malaysia ke acara Ekspo Dubai 2020 pada 9-15 Januari ini bagi menyertai Minggu Ekonomi Digital Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata syarikat-syarikat tersebut merangkumi kelompok industri teknologi kewangan (fintech) Islam di Malaysia yang pesat berkembang.
“Kewangan dan fintech Islam dilihat menjadi teras penting dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bukan sahaja bagi memacu masyarakat progresif, inklusif dan mampan, malah ke arah mengembangkan pasaran eksport negara.
“Ekspo 2020 Dubai ini akan berperanan sebagai platform penting untuk kalangan penginovasi fintech Islam tempatan untuk mencapai pasaran global. Ini juga selaras dengan visi MDEC iaitu menjadikan Malaysia sebagai hab fintech Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahadhir berkata, Malaysia juga sedang berusaha untuk menjadi peneraju dunia dalam fintech Islam dengan syarikat-syarikat terbabit menjadi pemacu pertumbuhan sektor tersebut.
Antara syarikat yang menyertai degelasi tersebut adalah microLEAP (platform pembiayaan mikro rakan setara atau P2P Islam dan konvensional yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia), TheNoor (aplikasi gaya hidup Muslim yang dilancarkan oleh usahawan Noor Neelofa Mohd Noor) dan Wahed Technologies yang merupakan syarikat pengurusan pelaburan digital Islam.
Menurut Laporan Fintech Islam Global Dinar Standard 2021, pasaran fintech Islam dijangka berkembang kepada US$128 bilion menjelang 2025.
Pada 2020, jumlah transaksi fintech Islam dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam pula dijangka berjumlah US$49 bilion manakala ekonomi halal ketika ini bernilai US$3.1 trilion serta diunjurkan meningkat kepada US$5 trilion pada 2030.
Malaysia yang berada pada kedudukan pertama dari segi kematangan pasaran, turut dalam kelompok lima terbaik berdasarkan jumlah transaksi pasaran fintech Islam.
— BERNAMA