Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi di Jeddah Jadi Hab Komoditi Malaysia

By 28 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Pejabat Wilayah Agrikomoditi atau lebih dikenali Syarikat Pemasaran Integrasi Komoditi (CIMC) di Jeddah, Arab Saudi akan bertindak sebagai hab komoditi Malaysia untuk memupuk hubungan antarabangsa melalui pelbagai inisiatif penting.

Ia juga sebagai penambahbaikan dan penerimaan produk pertanian Malaysia di pasaran global.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang merasmikan pejabat tersebut hari ini berkata pejabat itu penting untuk memudahkan pembangunan dan kerjasama dalam kalangan komoditi Malaysia dan industri tempatan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), khususnya Arab Saudi.

“Kementerian percaya, pejabat di Jeddah adalah testimoni kedua-dua negara untuk menyampaikan produk pertanian Malaysia berkualiti tinggi ke Timur Tengah dan Afrika dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.

“Ini juga akan membawa kepada peluang yang lebih besar dalam meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CIMC itu adalah yang pertama seumpamanya di Timur Tengah, menempatkan tiga organisasi berkaitan kerajaan di bawah satu bumbung iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Malaysia (MTC).

Pada masa sama, Zuraida turut menghadiri perbincangan dengan wakil daripada industri minyak sawit, getah dan kayu dari Arab Saudi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran Malaysia di rantau ini.

“Produk pertanian Malaysia sudah mantap di pasaran dunia dan kebanyakannya adalah keperluan kehidupan harian seperti minyak masak, kosmetik, sabun, sarung tangan dan perabot rumah serta produk yang biasa digunakan dalam sektor perindustrian seperti biofuel, galas struktur, alat ganti automotif dan panel bangunan.

“Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dan pengeksport kedua terbesar minyak sawit mentah, produk pertaniannya juga terkenal dengan kualiti tinggi dan boleh didapati di kebanyakan bahagian dunia,” katanya.

Arab Saudi komited meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta pada tahun lepas kepada 500,000 tan dengan anggaran nilai RM1.5 bilion pada tahun ini.

Pada 2020, eksport komoditi pertanian Malaysia ke Timur Tengah dan Afrika Utara mencatatkan AS$2.37 bilion (AS$1=RM4.19) manakala getah dan produk berkaitan mencatatkan nilai eksport sebanyak AS$535 juta.

Begitu juga, kayu dan produk kayu mencatatkan nilai eksport sebanyak US$324.5 juta manakala minyak sawit dan produk minyak sawit mencatatkan AS$1.51 bilion.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda