PUTRAJAYA, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Dasar buruh yang mampan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia untuk menjadikan pasaran buruh berdaya tahan pada masa depan, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata cabaran pandemik COVID-19 pada ketika ini telah memberi isyarat untuk memberikan keutamaan kepada penggubalan dasar berasaskan bukti.
“Keadaan pasaran buruh yang bertindak balas dengan pantas terhadap krisis memerlukan data dan analisa dalam merangka sebarang dasar agar sebarang krisis dapat dikendalikan dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada pelancaran Jurnal Semakan Dasar Pasaran Buruh yang diadakan secara maya hari ini.
Jurnal tersebut dikendalikan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA).
Mohammed Azman berkata jurnal itu menjadi penghubung kepada ahli akademik dan pembuat dasar dalam usaha untuk menambah baik perancangan dan penilaian dasar di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Katanya jurnal tersebut merupakan jurnal dwitahunan yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia.
“Selain memberi fokus kepada pembangunan pangkalan data dan penilaian dasar, jurnal ini juga memberi perhatian ke atas kesalingbergantungan antara pasaran buruh dan indikator pembangunan sosioekonomi seperti pengagihan pendapatan dan perubahan demografi,” katanya.
— BERNAMA