Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Para penjual ayam di Pasar Sentral mematuhi Penentuan Harga Maksimum Ayam seperti mana yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu RM10.80 sekilogram bagi ayam standard dan RM11.80 sekilogram bagi ayam super.
Salah seorang penjual ayam Majiou Keeyono, 53, berkata walaupun mendapat keuntungan yang sedikit mereka tetap mematuhi harga maksimum bagi ayam seperti mana yang ditetapkan kerajaan.
“Kita tetap mematuhi harga maksimum untuk kepentingan pengguna yang ingin membeli ayam dengan harga yang berpatutan walaupun kami juga menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam.
“Saya juga berharap pihak kerajaan memudahcara proses pemberian permit import ayam kepada peniaga ayam dan berharap pihak Peladang atau FAMA boleh membantu membekalkan ayam kepada kami,” katanya semasa ditemui di pasar tersebut, di sini semalam.
Sementara itu, tinjauan turut mendapati beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Bandar Labuan belum menerima bekalan telur ayam.
-RI