Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KeTSA Berjaya Tarik Potensi Pelaburan Bernilai RM5.8 Bilion

By 7 Februari 2022Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berjaya menarik potensi pelaburan dengan anggaran nilai RM5.8 bilion menerusi minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai di Emiriyah Arab Bersatu yang berlangsung dari 30 Januari hingga 5 Februari.

KeTSA dalam kenyataan semalam memaklumkan daripada jumlah itu, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion adalah menerusi dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Gading Kencana Sdn Bhd dan syarikat March Global LLC dari Arab Saudi.

“MoU ini adalah untuk pembangunan projek solar berskala besar di Timur Tengah, Afrika dan rantau Asia yang dijangka akan menjana pelaburan bernilai RM4.2 bilion.

“Manakala MoU antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG dari Jerman akan membekalkan teknologi serta peralatan bagi pembangunan penjanaan loji jana kuasa biogas dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM20 juta,” menurutnya.

Selain itu, sebanyak RM1.6 bilion diperolehi melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat asing yang turut menghadiri ekspo tersebut.

Minggu ke-18 ekspo itu juga menyaksikan Concord Renewable Energy Sdn Bhd melancarkan Concord Biogas Cube Scrubber System yang merupakan produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat itu, berpotensi untuk diperluaskan ke negara-negara lain.

Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai bertemakan ‘Tenaga Lestari dan Sumber Semula Jadi’ turut disertai 13 lagi syarikat tempatan daripada bidang tenaga dan sumber asli.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda