Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Melebihi 10,000

By 7 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 dalam negara semalam melebihi 10,000 dengan 10,089 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,914,220, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Oktober lepas iaitu 10,915 kes.

Dr Noor Hisham menerusi Twitter rasmi beliau berkata 99.24 peratus atau 10,012 kes baharu adalah dalam kategori satu dan dua, manakala 77 kes lagi atau 0.76 peratus berada dalam kategori tiga, empat serta lima.

Beliau berkata Selangor merekodkan jumlah tertinggi kes positif iaitu 2,549 kes, diikuti Johor (1,582), Sabah (1,285), Kedah (904) dan Pahang (624).

Ia diikuti Pulau Pinang (542), Kuala Lumpur (491), Kelantan (471), Negeri Sembilan (464), Melaka (457), Perak (321), Terengganu (213), Putrajaya (61), Sarawak (58), Perlis (44) dan Labuan (23).

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara, Dr Noor Hisham berkata ia berada pada paras 1.2 dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.49 diikuti Sabah (1.41), Putrajaya (1.29), Kedah (1.22) manakala Pulau Pinang dan Sarawak merekodkan 1.17, setakat kelmarin.

Beliau berkata dengan Ro/Rt 1.2 ketika ini, Malaysia dijangka mencapai 22,000 kes COVID-19 menjelang akhir Mac ini, justeru menjadi tanggungjawab semua orang untuk mematuhi garis panduan kesihatan awam dan sosial.

Dr Noor Hisham berkata meningkatkan liputan vaksinasi dan suntikan dos penggalak juga boleh mengurangkan penularan serta menurunkan Ro/Rt kepada kurang daripada 1.

“Kita masih berdepan cabaran. Tanggungjawab kini ada pada kita untuk bersama-sama menghadapi lonjakan kes namun yang lebih penting kita perlu menjangkakan jumlah kes lebih tinggi dengan tahap keterukan yang rendah, kurang kemasukan ke hospital dan kurang kematian,” katanya.

Setakat kelmarin, seramai 12,307,360 individu atau 52.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19.

Sementara itu, seramai 22,929,020 individu atau 97.9 peratus dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 99.2 peratus atau 23,222,612 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,791,080 individu atau 88.7 peratus telah selesai melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,868,945 individu atau 91.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 6,460 kes sembuh direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih ialah 2,812,614 orang.

“Sebanyak 137 daripada kes baharu memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 11 kluster baharu direkodkan dengan 361 kluster masih aktif setakat ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda