Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pembentukan Entiti Baharu Elak Sepak Takraw Negara Tercicir

By 7 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof membayangkan hanya dengan mewujudkan entiti baharu berupaya menyelamatkan sukan sepak takraw negara daripada terus tercicir di peringkat antarabangsa.

Menerusi surat diterima pihaknya daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Ibrahim berkata badan induk Asia itu enggan lagi menerima Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungannya selepas secara berterusan melanggar peraturan ditetapkan mereka.

Justeru, beliau berkata sekiranya tiada entiti baharu boleh menggantikan PSM, pembangunan sepak takraw hanya terhad di peringkat domestik sekali gus mampu mendatangkan impak buruk terhadap masa depan sukan itu di negara ini.

“Ikut surat yang saya terima, ASTAF tidak terima PSM dah jadi tiada makna kita melihat PSM sebagai badan untuk menaungi sepak takraw Malaysia sebab mereka sudah tidak diterima oleh ASTAF.

“Kita tidak mahu perkara itu kerana yang jadi mangsa adalah pemain, jadi biarlah kita ambil tindakan yang kita rasa wajar untuk pastikan pembangunan sepak takraw khususnya di peringkat lebih tinggi tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan enam bekas ahli gabungan PSM bersedia membentuk entiti baharu dengan menggunakan nama Konfederasi Sepak Takraw Malaysia, dengan permohonan berhubung perkara itu telah diserahkan kepada PJS.

Enam gabungan itu adalah Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Ibrahim berkata pihaknya akan membantu mendaftarkan permohonan entiti baharu itu memandangkan ia adalah jalan penyelesaian terbaik berikutan pendirian ASTAF yang jelas tidak mahu menerima PSM.

“Kita akan mendaftar berdasarkan permohonan yang ada. Jadi kita memudahcara macam mana kebiasaan yang kita buat untuk badan-badan yang baharu ini,” katanya.

Mei lepas, PSM disingkir sebagai ahli gabungan ASTAF berkuat kuasa serta-merta.

Penyingkirkan itu disebabkan PSM didapati bersalah susulan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Sebulan kemudian Ahmad Ismail yang dikenali sebagai Tok Mat melepaskan jawatan presiden selepas menerajui tampuk kepimpinan PSM sejak 2002.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda