Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Orang awam rata-rata menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan pemeriksaan suhu badan untuk memasuki sesuatu premis sebagai prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Bagaimanapun, masih ada yang kurang yakin dengan keputusan untuk tidak menggunakan pengimbas suhu itu, yang sebelum ini disediakan di hampir semua tempat.
Hanim Aziz, 30, dari Sentul memuji keputusan kerajaan tersebut kerana lebih memudahkan pelanggan untuk memasuki pusat beli-belah.
“Sebelum ini, kita kena beratur untuk memeriksa suhu. Kadang-kadang terpaksa beratur panjang,” katanya kepada Bernama.
Penyelia sebuah restoran di KLEast di sini, Alya Amzari, 27, berkata pemeriksaan suhu tidak relevan kerana tidak semua pelanggan mematuhi SOP itu apabila memasuki pejabat atau premis perniagaan.
Redzuan Shah, 22, yang bekerja di Restoran Omar Bahagia di Keramat, bersetuju pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP kerana menurutnya, ia tidak efektif dalam mengesan pembawa COVID-19.
Pekerja FD Mart Syazamira Yahya, 29, pula berpandangan keputusan kerajaan itu mempunyai baik dan buruknya.
“Pemeriksaan suhu memberi perasaan selamat kepada pelanggan dan pemilik (premis) walaupun ia kurang tepat dalam mengesan pembawa virus COVID-19,” katanya.
Turut berkongsi sentimen Syazamira ialah pemilik restoran Anjung Selera Aiman Jamalludin, 25.
Katanya, dengan pemansuhan pemeriksaan suhu, pemilik premis tidak lagi mengetahui sama ada pelanggan mengalami demam atau tidak.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman berkata dengan situasi terkini dan peningkatan kes COVID-19, pengimbasan suhu badan tidak lagi praktikal diamalkan sebagai salah satu langkah pemantauan.
“Kita memerlukan pemerkasaan individu untuk melakukan penilaian sendiri sama ada sihat atau tidak, jika tidak sihat jangan keluar (rumah) dan memberi risiko kepada orang lain,” katanya.
Selasa lepas (8 Februqri), Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan SOP pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis dimansuhkan bermula hari semalam.
–BERNAMA