Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PM Nasihat Orang Ramai Elak Lalui Kawasan Banjir Kilat

By 7 Mac 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Facebook Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati orang ramai supaya mengelak daripada melalui kawasan banjir kilat di ibu negara dan berhati-hati memandu ketika hujan.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook dan Twitter, beliau berkata enam kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.

“Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia. Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya.

Perdana Menteri turut memuat naik beberapa keping gambar kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir oleh agensi berkaitan.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai.

Selain itu banjir kilat di Lebuh Raya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke Persimpangan Sukom.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda