
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Mohd. Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Berpandukan kepada data statistik Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2021, Kedah menyumbangkan hasil pendaratan ikan laut pantai sebanyak 70,809.26 tan metrik setahun, menyumbang 24.3 peratus kepada pendaratan ikan laut pantai negara.
Ini secara tidak langsung mengiktiraf negeri Kedah sebagai Lubuk Ikan Malaysia selain dikenali sebagai negeri Jelapang Padi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md. Noor ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas di Pengkalan Kubang Badak, di sini semalam berkata sejumlah RM31.7 juta peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan kepada pemilik-pemilik vesel menangkap ikan negeri ini di bawah Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan kendalian Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Agrobank.
“Peruntukan yang disalurkan amat memberi manfaat kepada nelayan di negeri Kedah.
“Saya menyeru kepada para nelayan supaya sentiasa menjaga keselamatan di laut dan mematuhi syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh DOF,” katanya.
-ZS-