Laporan/foto: Nuranisha Sharif/Zaid Ahmad Zubid
ARAU, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Peniaga-peniaga kecil di bandar Arau di sini berharap agar kerajaan membenarkan pembelian minyak masak paket polybag satu kilogram bersubsidi.
Menurut seorang peniaga roti canai Mashitah Ismail, 50, modal pusingan dan kos perniagaannya kini meningkat kerana terpaksa membeli minyak masak botol tanpa harga subsidi.
“Sebagai peniaga kecil diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan kebenaran pembelian minyak masak bersubsidi satu kilogram ini kepada peniaga dan penjaja kecil daripada golongan B40,” katanya ketika ditemui pagi tadi.
Pasukan Info on Wheels Arau yang melakukan tinjauan turut memberi penerangan berkaitan pembelian minyak masak paket satu kilogram hanya untuk kegunaan isi rumah dan tidak boleh dibeli untuk digunakan bagi tujuan komersial.
Peniaga-peniaga kedai makan juga diminta membantu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib sekiranya mereka mengetahui kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh peruncit-peruncit.
-ZS-