Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Penjawat awam di daerah Dungun perlu menerapkan lima nilai S.W.I.F.T iaitu speed (pantas), world class knowledge (pengetahuan bertaraf dunia), inspirational (memberi inspirasi), flexible (fleksibel) dan technology-based (berasaskan teknologi) sebagaimana yang telah disarankan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil mengingatkan demikian dan juga meminta agar semua penjawat awam bersikap terbuka menerima kritikan, sentiasa beramanah dan menjaga imej perkhidmatan awam semasa berucap di Majlis Bersama Penjawat Awam Daerah Dungun di Dewan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini pagi tadi.
“Sikap ambil tahu, berintergriti, peduli serta berhemah amat penting semasa melaksanakan tugasan dalam perkhidmatan awam” katanya.
Turut hadir Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu Zulkifli Ali dan Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim.
-ZS-