Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)
KUBANG PASU, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat bercemar duli ke Tasik Darul Aman, Jitra, di sini semalam bagi merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2022.
Sebagai simbolik perasmian program, baginda turut berkenan mencemar duli menyempurnakan acara penanaman pokok merbau atau nama saintifiknya ‘Intsia palembanica’ yang merupakan Pokok Kebangsaan Malaysia sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti negara.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Haji Muhamad Sanusi Md Nor dalam ucapannya turut menyeru semua pihak untuk menggembleng tenaga dalam menjayakan Program Penghijauan Malaysia, melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di negeri Kedah.
-ZS-