Laporan/foto: Nur Farhana Azman/Noriah Abu Bakar (Ayer Keroh)
MELAKA, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Negeri Melaka dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Melaka International Trade Centre (MITC) akan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem ketika ditemui di sini semalam, sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan menanti pencari kerja di karnival ini.
“Kerajaan Negeri menyeru individu yang aktif mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang pekerjaan yang baharu untuk mencuba nasib dengan menghadiri sesi temuduga terbuka yang akan dijalankan secara bersemuka dengan majikan.
“Karnival ini menyasarkan peluang kerjaya kepada orang ramai khususnya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan institut pengajian tinggi dan pencari kerja di negeri Melaka. Individu yang berminat untuk menghadiri sesi temuduga di karnival kerjaya ini boleh melayari https://careerfair.perkeso.gov.my/ untuk pendaftaran,” katanya.
Karnival anjuran Kerajaan Negeri bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan Kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan diadakan selama tiga hari bermula 14 Oktober ini.
-ZS-