Laporan/foto: Rahman Ishak/JaPen (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Penjawat awam perlu bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi seluruh dunia.
Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, dengan ketidaktentuan senario ekonomi global, seharusnya penjawat awam perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ seharusnya dapat terjemahkan dalam konteks yang lebih luas khususnya dalam kita menilai semula peranan serta tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.
“Usaha ini juga seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang mana kita mampu mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Program Keceriaan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 antara Kementerian, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Zuki turut memberi peringatan kepada semua Kementerian bahawa negara kini sedang mula berhadapan dengan fenomena banjir.
“Ketidaktentuan peningkatan kuantiti hujan di beberapa buah negeri dan kawasan telah mula menampakkan tanda-tanda akan berlakunya banjir yang dijangka pada 18 Oktober sehingga Disember 2022.
“Justeru, saya ingin mengajak semua kementerian agar dapat memperkemaskan jentera di setiap kementerian, jabatan dan agensi masing-masing serta bersiapsiaga memberikan komitmen yang tinggi dalam bersama-sama membantu memberikan perkhidmatan yang cepat dan pantas kepada rakyat,” katanya.
Dalam majlis sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek turut mengumumkan keputusan Pertandingan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 antara Kementerian yang dimenangi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia manakala naib johan dan tempat ketiga menjadi milik Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
-RI