Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Labuan boleh menjadi contoh ikutan dalam mengaplikasikan konsep Keluarga Malaysia dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias, perpaduan penduduk yang berbilang kaum memperlihatkan keharmonian yang perlu dicontohi sebagai ‘role model’ kepada negeri lain.
“Semangat Keluarga Malaysia sudah ada tertanam dalam masyarakat di Labuan, kita sentiasa hidup aman damai, sentiasa bekerjasama dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan.
“Sebab itu kerajaan menyalurkan pelbagai peruntukan melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat,” katanya semasa merasmikan Program Karnival Sukan Tradisional MPP 2022, di sini pagi tadi.
Tambahnya, MPP juga menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memastikan rakyat terbela sekaligus menyokong segala usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat selama ini.
-ZS-