Laporan/foto: Noorsiah Mahmud
PAPAR, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Aroma kuih bahulu dan asap kayu api pastinya menggamit memori semasa kecil di kampung.
Pengusaha kuih bahulu tradisional di Kampung Tarap Bongawan, Siti Shainiah Ibrahim, 61, berkata mereka sudah berniaga sejak 40 tahun lalu dengan hanya menerima tempahan dari rumah sahaja.
“Saya tidak menjual di mana-mana tamu atau kedai kerana tempahan yang diterima pun tidak dapat dipenuhi.
“Tempahan paling banyak diterima adalah semasa perayaan Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina,” kongsinya semasa ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Turut mengusahakan perniagaan sama, Dayang Fatimah Ag. Marsidi, 63, mereka memilih untuk mengekalkan resepi kuih bahulu tradisional berikutan permintaan yang tinggi.
“Pembeli kuih bahulu bukan sahaja daripada masyarakat sekitar Bongawan malah kami turut mendapat tempahan dari Keningau, Tawau, Sandakan, Tenom serta penduduk asal kampung ini yang berhijrah ke luar negara,” kongsinya pula.
-ZS-