Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Rakyat Mahu PRU15 Menjadi Medan Ekonomi Negara yang Mampan dan Makmur

By 17 November 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)

KUALA LANGAT, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Rakyat mengamanahkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada pemimpin-pemimpin yang akan dipilih pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Rata-rata rakyat yang akan keluar mengundi pada Sabtu ini ketika ditemui di sini semalam mahukan kerajaan yang bakal dibentuk nanti memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, menangani ketidakstabilan politik negara dan mewujudkan ekonomi yang mampan dan makmur.

Menurut peniaga Norizan Yusof, 39, intipati manifesto parti politik atau pemimpin yang memenangi pilihan raya kali ini perlu dilaksanakan sebagai menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat.

“Kita keluar mengundi ini kerana mahu mencari pemimpin-pemimpin yang mampu melakukan yang terbaik kepada rakyat dan membawa negara ke tahap yang jauh lebih baik,” katanya lagi.

Ramesh Kupusamy, 47, pengusaha bengkel membaiki kereta berharap pemimpin yang dipilih dan bakal membentuk kerajaan nanti memastikan kewangan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi.

“Kerajaan mesti membantu golongan miskin serta ibu-ibu tunggal yang mengalami kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Kami juga mahukan kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan meskipun negara masih dalam fasa pemulihan,” katanya.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif dan bantuan kepada rakyat bagi menampung keperluan hidup yang semakin terhimpit dengan tekanan kenaikan harga barangan.

“Negara juga perlu sentiasa berada dalam keadaan aman damai. Pemimpin dan rakyat mestilah bersatu dan melupakan segala persengketaan demi memajukan negara,” kata seorang tukang masak Firdaus Abdullah Zainal, 21.

-ZS-

Tinggalkan komen anda