Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Zon Maritim Labuan
LABUAN, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran, awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan Kapten Maritim Nudin Jusoh, rondaan pihaknya mengesan dua buah kapal tangki yang merapat diantara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan satu batu nautika dari Labuan sekitar pukul 3 pagi.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal terbabit tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk aktiviti pemindahan minyak.
“Selain itu, kawasan kejadian merupakan kawasan yang tidak digazetkan sebagai kawasan aktiviti pemindahan antara kapal atau ‘ship-to-ship’ (STS) ‘transfer’.
“Kedua-dua kapal terbabit bersama lapan orang kru termasuk nakhoda yang berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-ZS-