Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

IPD Tampin Ajak Masyarakat Jadi Mata dan Telinga PDRM

By 17 jam yang laluTiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noraini Mohd Nasir (Tampin)/IPD Tampin

TAMPIN, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2023, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Tampin telah menganjurkan Program Pencegahan Jenayah serta penyampaian sumbangan untuk penduduk sekitar daerah ini.

Menurut Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tampin Asistan Superintenden Polis (ASP) Mohd Rezal Arifin, tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling berkaitan isu jenayah setempat.

“Objektif program ini untuk mengedar dan menerangkan risalah pencegahan jenayah masa kini kepada masyarakat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling di samping mendekati masyarakat agar menjadi mata dan telinga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah.

“Selain itu kita juga ingin mengingatkan masyarakat agar bersama-sama mencegah jenayah di musim perayaan dengan berkongsi maklumat dengan pihak polis,” ujar beliau sewaktu ditemubual di sini semalam.

Program berakhir dengan penyampaian sumbangan daripda MCPF Tampin bagi meringankan beban penerima bagi membuat persiapan Tahun Baharu Cina.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Anuwal Ab Wahab, Pengerusi MCPF Negeri Sembilan Datuk Fadzil A. Bakar, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin Deputi Superintenden Polis (DSP) Amiruddien Sariman, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Polis Balai serta anggota ‘Pencegahan Jenayah Bersama Aman Wanita (AMANITA) IPD Tampin dan ahli-ahli MCPF Daerah Tampin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda