Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

MB Umum Berita Gembira Untuk Penduduk Kampung Indian Settlement

By 6 jam yang laluTiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan berita gembira buat penduduk Kampung Indian Settlement Batu Caves, di sini apabila kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di kampung berkenaan akan dimulakan Mac ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata infrastruktur berkenaan akan turut melibatkan penyusunan semula lebih 70 lot-lot tanah yang tidak selesai sejak 2009.

“Kerja menaik taraf ini meliputi laluan jalan, memasang lampu jalan dan meroboh rumah-rumah untuk disusun semula melibatkan kos berjumlah RM5.9 juta.

“Dewan orang ramai juga akan dinaik taraf dengan kos berjumlah RM400,000 yang akan memberi manfaat kepada penduduk yang tinggal di kawasan ini sejak sebelum merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Ponggal Perpaduan DUN Sungai Tua di Kampung Indian Settlement semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kelewatan kerja naik taraf berkenaan disebabkan 26 keluarga yang tinggal di tepi sungai berpindah.

“Mereka telah ditawarkan lot tanah di Batu Arang pada awal 2021 dan perlu berpindah dahulu.

“Mac ini akan dimulakan proses menaik taraf termasuk pewartaan tapak dewan sebagai hak milik kerajaan,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda