Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Ponggal Disambut Meriah di PAWE Kuala Pilah

By 30 Januari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 30 Januari (Malaysiaaktif) – Perayaan Ponggal telah diadakan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Pilah, pagi tadi.

Ponggal yang disambut pada 15 Januari tahun ini oleh kaum India adalah nasi manis yang ditanak atau dimasak bersama susu menggunakan periuk tanah dan dimakan sebagai pemanis mulut.

Menurut Pushpa Govindan, 60, Ponggal merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai di dalam kalendar kaum India. Ia sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari.

“Ponggal disambut pada hari pertama bulan Thai yang merupakan bulan kesepuluh di dalam kalendar kaum India. Ia disambut dengan hadiah dan pakaian baru untuk ahli keluarga serta doa kepada dewa untuk kemakmuran pada tahun-tahun akan datang. Bulan Thai juga sangat sesuai untuk perkahwinan.

“Rumah-rumah dihiasi dengan daun mangga dan lantai dihiasi dengan corak-corak yang dilukis menggunakan tepung beras atau beras berwarna. Ada juga yang mengikat batang tebu di luar rumah mereka. Semoga tahun ini lebih banyak memberikan kebahagiaan kepada semua,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan dan Pegawai Warga Emas Jabatan Kemajuan Masyarakat Kuala Pilah Mohd Ikram Ismail.

-ZS-

Tinggalkan komen anda