Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

“Banjir Kali Ini Lain Macam”

By 6 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Shahrizan Shahabudin/Mahyuddin Abd. Rani

NIBONG TEBAL, 6 Feb (Malaysiaaktif) – “Banjir kali ini lain macam”. Begitulah luahan sebahagian penduduk dan peniaga yang ditemui selepas beberapa kawasan di Nibong Tebal dilanda banjir kilat pada 3 Februari lalu.

Hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan beberapa kawasan di Jalan Jawi Jaya, Kampung Seethu, Kampung Jawi dan Kampung Sungai Baong telah terjejas. Premis-premis perniagaan telah dinaiki air separas lutut dan mengakibatkan kerosakan barangan jualan dan juga peralatan elektrik.

Seorang petugas di Pusat Haemodialisis Zakat, Hafizah Mat Rosli berkata, dia dan beberapa orang kakitangan dan seorang pesakit telah terperangkap di dalam premis tersebut. Mereka kemudiannya diselamatkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Jawi.

Seorang penduduk di Kampung Jawi, Amran, 62, yang mengusahakan ternakan kambing berkata, beliau terpaksa berteduh dengan kambing di dalam kandang sementara menunggu bantuan bot sampai.

“Ada beberapa ekor ternakan yang mati dan ada juga kebun sayur-sayuran penduduk yang telah rosak.

“Setakat hari ini, masih belum ada pihak yang datang untuk bertanyakan tentang kerugian yang dihadapi oleh peniaga dan juga penduduk yang terjejas akibat banjir tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda