Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Belanjawan 2023 Malaysia MADANI: Kerajaan Perpaduan Peruntuk RM388.1 Bilion

By 25 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidy Salim (Putrajaya)/Jabatan Penerangan

PUTRAJAYA, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Menurut Anwar, Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka pembangunan Malaysia MADANI dan menumpukan kepada 12 ikhtiar utama yang berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan atau ketidakseimbangan.

Anwar selaku Menteri Kewangan berkata, selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion pada tahun lepas.

“Peningkatan ini adalah untuk menumpukan kepada program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2023 sebelum ini yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober lalu memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Setelah mendengar keluhan rakyat dan gegaran suara saudara saudari di dewan yang mulia ini, saya memilih untuk menghidang belanjawan dengan memaparkan fakta dan angka sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan data memukau,” tambahnya lagi.

Beliau berkata kerajaan bertekad mencapai tahap defisit kekal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda