Laporan/foto: Norhazliza Mod Din/Mohamad Firdaus Abd Aziz
GUA MUSANG, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Sabtu lalu.
Menurut beliau KESEDAR berpotensi menjadi pengeluar makanan domestik menerusi pembangunan program ‘Kesedar Food Valley’ sebagai usaha menangani isu keterjaminan makanan negara serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.
“Usaha KESEDAR dalam memanfaatkan lebih 900 hektar tanah bagi tanaman hasil baharu di seluruh Wilayah Gua Musang wajar dijadikan penanda aras yang baru,” tegas Timbalan Perdana Menteri semasa sidang media bersama wartawan tempatan.
Pengurus Besar KESEDAR Dr. Shahrir Mohammad Zakey berkata tiga projek utama telah diperkenalkan oleh KESEDAR di bawah program ini menerusi Pertanian Hasil Baru, Penternakan Lembu Pedaging dan Agrotek Desa.
“Kerjasama sektor swasta dengan agensi juga dialu-alukan supaya penyelarasan pengeluaran makanan berskala besar dapat dilakukan bagi menampung keterjaminan makanan,” katanya.
-ZS-