Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kesedaran, Pengetahuan Penyakit Kanser Pasca COVID-19 Penting

By 12 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidi Jamin

KOTA KINABALU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Pengetahuan masyarakat mengenai penyakit kanser amat penting terutama selepas pandemik COVID-19 diisytiharkan sebagai endemik.

Timbalan Pengarah 1 Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. Yogendran Panchalingam berkata, dalam kalangan masyarakat terutama pesakit kanser serta ahli keluarga perlu ada kesedaran bahawa penghidap kanser mudah dijangkiti penyakit COVID-19 kerana sistem imuniti badan yang rendah.

“Kebanyakan rawatan dan temu janji terhadap pesakit kanser semasa COVID-19 melanda terpaksa ditangguh bagi menghadapi gejala dan kes COVID-19.

“Keadaan ini secara langsung mempengaruhi bilangan dan peningkatan kes dalam kalangan pesakit kanser selepas pandemik,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanser Sedunia 2023 Peringkat HQE di Auditorium Menara Berkembar HQE, di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak hospital akan terus meningkatkan kempen penerangan dan hebahan termasuk mengambil inisiatif mengadakan Sambutan Hari Kanser setiap tahun agar maklumat penyakit kanser terus diberi perhatian.

Majlis sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat HQE 2023 bertemakan ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser’ (Close The Care Gap) turut disajikan dengan sesi ceramah tertumpu kepada perkembangan dan kaedah rawatan penyakit kanser terutama kanser koloretal termasuk penyakit kanser berkaitan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda