Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah premis di Telok Panglima Garang semalam.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata operasi jam 12 tengahari di premis tanpa nama tersebut dijadikan lokasi pengagihan minyak hasil pengisian dari stesen minyak sekitar kawasan tidak jauh daripada lokasi serbuan.
“Aktiviti pengisian minyak dipercayai dilakukan secara berulang dan kemudiannya disyaki dihantar ke premis berkenaan untuk dialihkan.
“Seorang warga asing yang dipercayai sebagai penjaga premis dan seorang lagi lelaki warganegara ditahan untuk rakaman percakapan bagi keperluan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, diesel dianggarkan 20,000 liter bernilai RM43,000 dua buah kenderaan lori tangki serta lain-lain peralatan berjaya disita.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
-ZS-