Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Ahmad Suhaimi Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti tindakan yang akan diambil terhadap laporan berita yang mendakwa akan ada pengurangan 800,000 kakitangan awam.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, kandungan berita yang disiarkan saluran media itu dilihat sudah beberapa kali melanggar dan menerbitkan bahan yang tidak mematuhi garis panduan SKMM.
“Berikan sedikit masa bagi SKMM meneliti dan menilai serta berhubung dengan pihak berkenaan.
“Saya juga serahkan kepada pihak berkuasa sama ada mahu melakukan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ulas Fahmi Fadzil mengenai laporan berita sebuah media berhubung isu pengurangan 800,000 kakitangan awam.
Beliau menegaskan kebebasan bersuara dan media bukan ‘lesen’ untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah kepada orang ramai.
“Bagi saya yang penting ada beza menerbitkan berita dan menerbitkan fitnah, ada beza hak untuk bersuara dan hak untuk media bebas menjalankan tugas.
“Peringatan kepada diri saya sendiri, orang ramai termasuk wartawan, pengarang, editor dan pemilik media, kita perlu lebih waspada dan sama-sama memainkan peranan memastikan sebarang kandungan yang diterbitkan tidak melanggar undang-undang sedia ada demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar Fahmi lagi ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Saya Digital@Lembah Pantai, di sini semalam.
-ZS-