Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Teluk Batik Campsite Kini Lebih Mesra Pengguna

By 16 Februari 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Irsyad/Muhamad Firdaus (Manjung)

LUMUT, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Perkhemahan bersama keluarga menjadi konsep aktiviti percutian yang semakin digemari ramai.

Bagi penggemar aktiviti ini, Teluk Batik Campsite boleh disenaraikan sebagai salah satu tempat baharu yang perlu dikunjungi.

Mula dibuka kepada orang ramai pada Julai 2019, kawasan perkhemahan yang terletak di sebelah kiri pantai Teluk Batik ini menawarkan 45 ruang untuk berkhemah dengan harga sewaan RM20 hingga RM50 dan ia dilengkapi dengan soket elektrik.

Menurut penyelia pantai Badrul Hisham Mohd Sufian, 42, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama pada musim cuti persekolahan.

“Bangunan tandas dan surau yang baharu dibuka 24 jam khusus untuk penghuni ‘campsite’ berbanding sebelum ini mereka perlu berkongsi tandas dengan orang awam.

“Majlis Perbandaran Manjung sentiasa membuat penambahbaikan dari masa ke semasa bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang ke pantai peranginan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Badrul Hisham, tempahan awal untuk ruang perkhemahan boleh dibuat melalui talian telefon atau secara ‘walk-in’ bagi mereka yang berminat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda