
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Malaysiaaktif) ā Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan kadar harga Pakej Internet Perpaduan yang diumumkan Kerajaan adalah harga asas untuk jalur lebar tetap dan prabayar internet mudah alih.
Syarikat-syarikat telekomunikasi sentiasa dialu-alukan untuk memberi tawaran pakej perkhidmatan internet yang lebih baik pada harga yang lebih murah.
“Ini adalah pengumuman dasar, sekiranya syarikat-syarikat telekomunikasi ingin memberi tawaran yang lebih baik, lagi bagus dan ia adalah terpulang kepada mereka.
“Buat masa ini, ābaselineā kita adalah RM69 sebulan bagi pakej jalur lebar tetap dan RM5 sebulan untuk pakej prabayar internet mudah alih.
“Saya berharap syarikat telekomunikasi akan teliti suara rakyat dan suara konsumer dalam memberi tawaran perkhidmatan Pakej Perpaduan ini,” kata Fahmi Fadzil ketika ditemui selepas menghadiri Program Ramah Mesra dan Gotong-royong Residensi Suria Pantai, di sini hari ini.
Menurut Fahmi Fadzil, kementeriannya akan menyediakan satu pangkalan data sebagai rujukan syarikat-syarikat telekomunikasi bagi mengenalpasti mereka yang layak menikmati Pakej Perpaduan ini.
-ZS-