Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 548 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura telah menerima agihan zakat sempena Program Agihan Zakat Sempena Ramadan bagi Tahun 2023 di Dewan Arena Square, di sini semalam.
Penerima bantuan, Wan Rahim Wan Othman, 53, meluahkan rasa syukur kerana agihan zakat yang diterimanya dapat meringankan perbelanjaan sempena menyambut Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Nazli Amirri Ngah mengingatkan penerima bantuan supaya menggunakan sebaik mungkin agihan yang diterima dan tidak menyalahgunakannya.
“Terdapat tiga kategori agihan bantuan tahun ini iaitu sebanyak RM300 untuk isi rumah tunggal, isi rumah dua atau tiga orang sebanyak RM500 dan isi rumah empat orang ke atas sebanyak RM700.
“Daripada semua penerima, ada asnaf yang menerima bantuan secara tunai dan sebahagian besarnya pula dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Turut hadir Pegawai MAIDAM Daerah Dungun Md Maheran Yusoff.
-ZS-