Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kampung Belaoh, Hulu Besut Sebagai Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana

By 21 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)/APM

BESUT, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Belaoh, Hulu Besut diberi pendedahan dan ilmu semasa menghadapi bencana dalam program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana, di sini baru-baru ini.

Program ini merupakan salah satu aktiviti dalam pengisian dekad platinum Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan juga sempena sambutan bulan Pertahanan Awam sepanjang bulan Mac ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel Mohd Yusoff Samad, berkata program ini adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan penduduk setempat dalam menghadapi sebarang bencana dan insiden kecemasan.

“Modul latihan asas yang disediakan kepada warga kampung yang terlibat akan mampu melatih dan memberi pengalaman untuk memberi bantuan awal, bukan hanya ketika berlakunya bencana banjir tetapi keadaan kecemasan yang lain,” kata Timbalan Setiusaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Terengganu Anuar Awang ketika merasmikan program.

Salah seorang peserta yang terlibat dari penduduk Kampung Belaoh, Mohd Nor Husin, 35, berterima kasih kepada pihak penganjur kerana program ini banyak memberi tunjuk ajar dalam menangani masalah kecemasan dan persediaan awal dalam menghadapi bencana.

Antara aktiviti program yang diadakan adalah pertolongan cemas, pencegahan kebakaran di rumah dan juga pengendalian haiwan berbisa dan berbahaya serta aktiviti jalinan ukhuwah bersama komuniti seperti sukan rakyat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda