
Laporan/foto: Zaidy Salim/BERNAMA
PUTRAJAYA, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor susulan banjir yang melanda negeri itu.
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan tidak perlu untuk membuat pengisytiharan darurat tersebut buat masa ini.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah berhubung tindakan segera yang perlu diambil Kerajaan Persekutuan bagi membantu Johor.
“Pada waktu ini, pandangan Jemaah Menteri adalah ke arah apa yang boleh kita (Kerajaan Persekutuan) lakukan segera termasuk meneliti aset-aset kerajaan yang mampu kita gerakkan segera,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet hari ini.
Jumlah mangsa di Johor setakat 8 pagi tadi dilaporkan sejumlah 33,149 orang yang dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada Johor.
-ZS-