
Laporan/foto: Noor Farihah Binti Mohamed Rahim (Jeli)
JELI, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Cuti sekolah masa yang cukup menggembirakan kanak-kanak. Namun bagi ibu bapa cabarannya agak berlainan dan perlu diisi dengan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan.
Pusat Komuniti Desa (PKD) Kampung Bukit Jering, di sini baru-baru ini telah mengadakan aktiviti memasak dalam Program Chef Cilik sempena cuti sekolah ini bagi memberi pendedahan kepada 25 orang kanak-kanak berusia lima hingga dua belas tahun tentang cara menyediakan sandwic dan koktel buah-buahan.
Menurut seorang ibu peserta, Munira Mohamad, 40, program ini dapat memberi pengalaman dan pengetahuan berkaitan pemakanan berkhasiat.
“Program ini juga mampu memupuk sifat kreatif, inovatif dan semangat kerjasama anak-anak serta menyemai minat memasak dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Menurut Pengurus Pusat Komuniti Desa, Nadia Natasha Ibrahim, 25, Program Chef Cilik merupakan wadah terbaik buat anak-anak bagi memanfaatkan cuti persekolahan dengan mengikut aktiviti dalam suasana yang santai dan paling penting adalah menyeronokkan.
-ZS-