Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kraf Identiti Malaysia

By 12 Mac 2023Mac 14th, 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2023 (HKK 2023) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia menjulang keunikan produk-produk tempatan pelbagai kaum di Malaysia.

HKK 2023 bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ berkonsepkan ‘Kraf Identiti Malaysia’ mengumpulkan seramai 550 usahawan dan komuniti kraf dari seluruh pelusuk tanah air di bawah satu bumbung.

Lebih uniknya, penganjuran kali ke-20 ini turut melibatkan usahawan kraf daripada golongan B40.

“Produk-produk kraf keluaran Komuniti Sarawak kami mendapat sambutan agak menggalakan daripada para pengunjung, khususnya beg sumpit dan beg galas diperbuat anyaman rotan yang paling laris dijual,” kata Balad Lasong dari Komuniti Sarawak yang menyertai HKK 2023 buat kali pertama di sini.

Menurut pengusaha Batik Legacy, Zu Farahani Zulkifli, beliau dan abangnya mewarisi peniagaan batik ini daripada ayah mereka yang diusahakan sejak zaman sekolah lagi.

“Sambutan amat menggalakan daripada peminat-peminat batik dan kami telah mencapai sasaran jualan bagi HKK 2023,” katanya.

Manakala bagi dua adik-beradik, Nabilah Azirah Abdull Rahim, 26, dan Nadiah Athirah binti Abdull Rahim, 21, yang membantu ibunya mengusahakan ZR Batique dari Kraf Johor melihat platform HKK ini dapat mempromosikan produk kraf keluaran tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan dan komuniti kraf.

Selain jualan pakaian batik dan tenunan, aksesori, beg serta kraf tangan, pengunjung HKK 2023 juga didedahkan dengan demonstrasi pembuatan produk kraf menggunakan rotan, kayu, mengkuang, dan manik.

HKK 2023 berlangsung selama 13 hari bermula 1 Mac lalu di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur menyasarkan jualan RM16 juta dengan kehadiran 185,000 orang pengunjung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda