Laporan/foto: Nurul Jannah Shamsol Anuar/Syaiful Harif Adnan
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih dua ribu penerima peralatan awal persekolahan hadir di dalam ”Program Back To School” Parlimen Bandar Tun Razak yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras.
Program anjuran Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antara ucapan Wan Azizah kepada warga Bandar Tun Razak yang hadir adalah menekankan kesediaan beliau untuk sentiasa membantu permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk setempat sehingga bertemu jalan penyelesaian.
“Program ini adalah salah satu inisiatif pejabat parlimen untuk saya bersemuka dengan anak-anak yang menerima sumbangan disamping membantu meringankan beban sempena pembukaan sekolah,” ujarnya.
Menurut Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Tuan Azman Abidin program ‘Back To School’ ini adalah bukan kali pertama diadakan malah program seperti ini akan diteruskan setiap tahun.
Persembahan Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia juga turut sama menghiburkan para hadirin di Stadium Bola Sepak Cheras.
Turut hadir Pengarah Urusan Canggih Sutera Sdn Bhd Rozamir Zulkifli, Pengarah Eksekutif Berjaya Group Berhad Datuk Seri Badrul Hisyam, Ahli Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia, Mohd Najib Mohd Nor, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Abdul Rahman Siraj dan Ketua Pegawai Kewangan Amanah Ikhtiar Malaysia Norsharizal Mashahrin.
-ZS-