
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Bangi Selangor dengan kerjasama Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings telah menyediakan perkhidmatan dapur bergerak menggunakan bas yang diberi nama MAPIM Mobile Kitchen.
Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman yang menempatkan 422 mangsa yang terdiri daripada 142 keluarga telah dipilih oleh pihak MAPIM bagi jelajah membantu mangsa banjir.
Pegawai Tugas Khas MAPIM Malaysia merangkap Ketua Misi Bantuan Banjir Johor Mohamad Aiman Syafiq Mohd Noor, 28, memberitahu, objektif utama MAPIM Mobile Kitchen adalah untuk memberi perkhidmatan masakan panas bagi mangsa banjir, pasukan penyelamat dan petugas keselamatan.
“Antara pengisian program di PPS yang terpilih adalah menyediakan masakan panas sebanyak tiga kali sehari (sarapan, makan tengahari, makan malam), menyantuni petugas keselamatan dan penyelamat dengan memberikan makanan panas serta membantu pihak agensi kerajaan bagi memudahkan gerak kerja mereka,” ujarnya.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Zurayushazman Ismail, 47, selaku penyelaras PPS menyatakan inisiatif ini amat baik kerana ianya menyediakan makanan khas untuk petugas dan mangsa banjir.
“Rata-rata mangsa berasa amat gembira dapat merasai makanan yang panas yang baru di masak dan ianya dapat hilangkan sedikit kesediahan mangsa banjir serta anak-anak amat gembira dapat makanan secara percuma,” ujarnya.
-ZS-