Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)
JERANTUT, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Siapa menyangka, susuk tubuh anak muda yang mahir mengendalikan bot di jeti Kuala Tahan rupa-rupanya pandai mengemudi bot sejak berusia 10 tahun lagi.
Mohd Daniel Irfan Haikal Mohd Syukri, 18, berkata dirinya mula belajar mengendalikan bot atas minatnya sendiri.
“Saya belajar pandu bot ini sendiri sahaja, saya tengok ayah dan datuk mengendalikan bot dan dari situ saya cuba pandu sendiri,” ujarnya yang kini mengendalikan bot milik datuknya.
Minat yang datang dalam dirinya untuk mengendalikan bot ini adalah untuk menyambung legasi perusahaan bot yang dimilik oleh keluarganya.
Beliau yang dibesarkan di Kuala Tahan sangat mahir mengenai selok-belok air Sungai Tembeling.
“Antara pengalaman sepanjang saya bawa bot di sini adalah semasa menyelamatkan penduduk kampung ketika banjir besar dan juga sewaktu berlakunya kecemasan,” katanya yang bercita-cita untuk membesarkan lagi perusahaan keluarganya ini.
Daniel turut bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membuka semula sektor pelancongan dan kini pelancong dari luar dan dalam negara telah mula ramai menjadikan Taman Negara sebagai destinasi percutian mereka.
-ZS-