Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Penggunaan mesin layan diri menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan baru-baru ini akan diperluaskan ke lokasi tumpuan orang ramai seperti di kampus universiti dan hospital.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pihak kementerian kini sedang memuktamadkan seberapa banyak lokasi di seluruh negara bagi diletakkan mesin layan diri berkenaan dengan sasaran 5,000 orang penerima mesin tersebut.
“Pada 21 Mac nanti, ia akan dilancarkan di kampus universiti iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam jadi kita akan pergi dari satu tempat ke satu tempat, permintaan itu memang terus masuk dari tempat-tempat yang menawarkan untuk beri ruang mesin layan diri ini.
“Hospital ada, pejabat swasta juga ada dan proses ini akan berterusan sepanjang masa. Memang itu perancangannya dan kita akan pergi ke tempat awam dan tempat-tempat yang ramai pengunjung ataupun kawasan yang kita tahu makanan pada harga RM2 hingga RM5 ini akan beri kesan yang besar seperti di kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Bas Terminal 1 Seremban, di sini kelmarin.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali.
-ZS-