Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Semua Pihak Diseru Lindungi Spesis Penyu daripada Pupus

By 17 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr. Azman Ibrahim menyeru orang ramai untuk turut serta menjaga spesis penyu daripada kepupusan dengan cara tidak membuang sampah terutamanya plastik ke dalam laut.

“Orang ramai juga boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak ada penjual yang menjual telur penyu kerana ia adalah menyalahi undang-undang selaras dengan pindaan seksyen 7A Enakmen Penyu 1951 yang berkuat kuasa 1 Jun 2022,” katanya.

“Pada tahun ini kerajaan negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi perbelanjaan upah pekerja penyu, pembelian telur serta melaksanakan program kesedaran awam.

“Kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan sebanyak RM260,000 bagi pembaikan kecil tempat penetasan di Dungun, Setiu dan Mak Kepit, Pulau Redang dan juga menaik taraf Pusat Santuari Penyu Ma`Daerah Kerteh serta menaik taraf Pusat Pemuliharaan Penyu di Geliga,” katanya ketika ditemui dalam program Kesedaran Penyu Tahun 2023 di Pantai Teluk Mak Nik, di sini semalam.

Menurutnya lagi bagi menjayakan misi ini, pihak Jabatan Perikanan Terengganu telah menjalinkan kerjasama rakan strategik bersama pihak universiti, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerja-kerja pengurusan penyu di Negeri Terengganu.

“Saya berharap usaha murni dan penglibatan sebegini akan berterusan dan lebih banyak pihak akan tampil memberikan sokongan dan kerjasama bagi memulihara sumber penyu di negeri ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda